Hormon cantikkan kulit
Yasmin mudah terkena jerawat dan noda-noda putih. Jerawat sering sahaja tumbuh pada pipi atau dahinya. Bahagian lain pada muka jarang dihinggapi jerawat. Bila Yasmin menyapu ubat, jerawat itu hilang dan meninggalkan kesan parut yang berwarna kehitaman.
Ada kalanya jerawat yang tumbuh kelihatan seperti ruam kecil pada dahi. Jerawat juga tumbuh pada bahagian belakang badan. Kehadiran jerawat tidak pernah putus. Meskipun sembuh apabila dirawat namun ia akan tumbuh semula. Yasmin yang inginkan kulit licin tanpa cela mencuba pelbagai cara bagi menutupi kekurangan itu. Setiap bulan Yasmin akan ke salon bagi rawatan muka. Selepas rawatan kulit tampak cantik dan berseri namun selepas beberapa hari kulit menjadi kusam semula. Bintik putih dan hitam terlalu banyak sehingga menimbulkan rasa kurang selesa. Apabila bermekap, amat sukar sekali bagi meratakan bedak. Ini adalah kerana bintik hitam dan putih yang banyak menyukarkan bedak asas disapu rata. Lagi pun apabila dia memakai bedak asas jerawat tumbuh semakin banyak. Bintik-bintik putih juga semakin bertambah sehinggakan Yasmin terpaksa berhenti menggunakan bedak asas.
Yasmin melihat sahabat baiknya Julia berkulit mulus dan bersih meskipun setiap hari Julia menggunakan bedak asas dan bersolek tebal. Kulit Julia seolah-olah kebal dan tidak bermasalah meskipun kerap bertukar produk kosmetik dan menggunakan pelbagai jenis bedak dan krim. Yasmin ingin tahu mengapa beliau sukar mendapat kulit yang licin dan cantik meskipun mencuba pelbagai cara.
Saya memberitahu Yasmin terdapat perbezaan antara kulit Yasmin dan kulit Julia kerana kulit Julia mempunyai jumlah hormon yang cukup. Yasmin hairan kerana dia tidak tahu bahawa hormon turut mempengaruhi kulit.
Bagi ramai orang kefahaman mengenai hormon sangat terhad. Mereka melihat kepentingan hormon dalam suatu perspektif yang sempit. Sebenarnya kepentingan hormon untuk meningkatkan kecantikan kulit juga sangat penting. Ada hormon yang bertindak secara langsung ke atas kulit kita. Tanpanya kulit ditumbuhi ruam dan berjerawat.
Masalah kekurangan hormon bukan sahaja berlaku kepada mereka yang berusia, malahan di kalangan para remaja juga tidak dapat mengelakkan daripada masalah ini. Saya dapati masalah kekurangan hormon begitu ketara di kalangan para remaja sama seperti peringkat usia yang lain. Justeru mereka sukar mendapatkan kulit yang baik. Hormon yang kurang membuatkan kulit mereka dilanda pelbagai masalah.
Jenis hormon yang mempengaruhi kulit.
Hormon adrenal sangat mustahak bagi kecantikan kulit seseorang. Hormon ini dikeluarkan oleh kelenjar adrenal kita yang terletak pada buah pinggang. Kelenjar adrenal adalah kelenjar kecil yang terdiri daripada dua bahagian iaitu kortex dan medulla. Kedua-dua bahagian menghasilkan hormon yang berbeza. Kortisol iaitu hormon dari adrenal merupakan elemen penting dalam kecantikan. Ia juga mustahak bagi pembentukan badan yang cantik dan seimbang. Seseorang yang kurang hormon kortisol akan mempunyai masalah jerawat, pigmentasi, resdung, gatal-gatal dan juga noda putih yang sukar dirawat meskipun dengan pelbagai kaedah rawatan muka.
Rawatan yang hanya memfokuskan pada kulit sahaja tanpa mengambil kira hormon dalam tubuh kita tidak mungkin memberikan hasil yang kekal pada jangkamasa panjang. Ini kerana sekiranya kelenjar hormon yang tidak dirawat sudah menghasilkan hormon pada tahap rendah, masalah yang dihadapi akan berulang. Jadi demi mendapatkan hasil yang terbaik kita perlu meningkatkan paras kortisol juga. Saya dapati rawatan laser dan peningkatan kualiti kulit perlulah disekalikan dengan rawatan peningkatan hormon dalam tubuh.
Bintik-bintik putih adalah radang pada kulit. Ia terjadi apabila kelenjar sebum menghasilkan terlalu banyak sebum. Kekurangan hormon kortisol menyebabkan kulit menjadi terlalu sensitif. Proses keradangan membuatkan kulit rasa gatal dan tidak selesa. Bintik-bintik putih pada hidung dan dahi membuatkan pori-pori kulit kita terbuka dan kulit tampak kasar. Bila dipicit bintik-bintik keluar sebagaimana nanah, berbau dan membuatkan pengidapnya tidak selesa.
Bagi memperolehi kulit mulus, kita juga harus menitikberatkan faktor mencukupkan hormon dalam badan. Setelah hormon ditingkatkan, bintik-bintik putih tidak lagi terjadi dan keradangan pula mula hilang. Kulit juga tidak berbau busuk lagi.
Masalah kekurangan kortisol boleh berlaku kepada seseorang yang gemuk atau kurus. Jelas di sini faktor berat badan atau saiz badan tidak memainkan peranan dalam menentukan kualiti kulit seseorang. Seseorang yang terlalu kurus apabila kortisol ditambah akan berubah menjadi lebih berisi dan mendapat bentuk badan yang lebih menarik.
Seseorang yang terlalu gemuk pula apabila kortisol ditambah akan mula mendapat penurunan berat badan yang seimbang dan berubah menjadi lebih cantik. Jelaslah bagi kita bahawa kepentingan hormon kortisol tidak boleh dipertikaikan lagi.
Tanda tanda kekurangan kortisol.
1. Mudah alah dan mendapat gatal-gatal kulit apabila makan makanan tertentu atau menggunakan produk tertentu (mudah mendapat alahan)
2. Jerawat dan radang kulit
3. Bintik-bintik putih yang banyak
4. Tampak lebih tua daripada usia sebenar
5. Kulit tampak gelap
6. Terlalu gelap pada ketiak dan celah-celah lipatan badan seperti leher dan bawah buah dada
7. Gelap di belakang lulut
8. Parut-parut lama berwarna kehitaman
9. Terlalu gemuk dan sukar untuk kurus meskipun berdiet
10. Terlalu kurus dan sukar meningkatkan berat badan meskipun makan banyak.
Di dalam tubuh kita terdapat pelbagai hormon yang saling berinteraksi. Apabila kortisol kurang maka hormon lain akan turut merosot. Hormon thyroxine misalnya amat sensitif dengan kehadiran hormon adrenal. Apabila hormon adrenal rendah ia turut menjadi rendah juga. Ini membuatkan seseorang menjadi gemuk dan sukar menurunkan berat badan. Proses metabolisme menjadi rendah dan seseorang akan mudah letih.
Setelah menjalani terapi penambahan hormone Yasmin mula berubah. Bintik-bintik putih yang mengganggu telah tiada dan Yasmin bebas menggunakan mekap tebal serta bedak asas tanpa sebarang masalah.
KESIHATAN
![]() |
| Insurance Liability and Halal Toi'ba (High Quality) |
ARKIB : 05/12/2010
Hormon untuk cantik dan sihat
Sejak akhir akhir ini saya rasa tak sedap badan. Dada asyik berdebar-debar dan mudah benar naik angin. Kadang-kadang perkara yang berlaku bukanlah besar sangat namun saya sangat cepat terasa. Kalau anak-anak tinggi suara sikit mulalah saya rasa kecil hati. Dengan cucu pun begitu. Padahal mereka budak budak lagi, bukan tahu apa apa namun saya mudah benar tersinggung.
''Mungkin sejak saya pencen saya jadi begitu. Masa bekerja dulu sentiasa sibuk, bila pencen duduk rumah banyak masa senggang, mungkin itu yang mempengaruhi emosi saya,'' keluh Puan Zai. Wanita berusia akhir 50-an itu masih aktif dan bergaya.
''Puan Zai rasa tak sedap badan?" Saya bertanya. ''Memang doktor, saya rasa panas dan berpeluh sampai melekit. Tapi bahang panas datang tak tentu masa. Kejap datang dan dalam beberapa jam ia hilang. Tak tentu rasa di buatnya. Kaki pula berasa lenguh dan tulang macam sengal-sengal,'' jelas Puan Zai. Saya seterusnya bertanya beliau tentang aktiviti sehariannya. Menurut Puan Zai, pergerakannya menjadi lambat. Beliau memikirkan masalah tersebut hanya disebabkan usia yang semakin meningkat.
''Ada sebab lain ke doktor? Lagi satu saya cepat rasa sepi. Kadang kala saya menitis air mata apabila hati terasa duka dan terluka. Bila saya fikirkan tiada sebab-sebab yang sepatutnya namun hati saya mudah tersentuh. Hati rasa sepi dan sunyi. Semasa bekerja dulu saya seorang yang periang. Adakah ini faktor psikologi dan harus dilalui oleh semua wanita dalam peringkat umur sebegini?'' tanya beliau lagi.
Puan Zai juga menyatakan kebimbangan mengenai masalah sukar tidur dan berat badan yang semakin meningkat. Katanya, beliau sering bersenam dan menjaga pemakanan namun lemak yang berkumpul semakin banyak serta sukar menurunkan berat badan.
''Saya takut menjadi gemuk dan obes. Setiap kali memandang cermin, saya seolah-olah kehilangan diri sendiri. Perubahan menjadi ketara pada wajah. Saya tampak hodoh dan wajah menjadi lebar. Satu waktu dahulu saya gemar bergaya dan berhias namun kini dunia saya sudah hilang.
''Apakah ini satu takdir saya menjadi tua, gemuk dan tidak menarik lagi?'' keluh Puan Zai.
Bagi saya apa yang di suarakan oleh Puan Zai adalah sesuatu yang jujur dan ikhlas dari hatinya.
Semua orang takut untuk menjadi tua. Bila usia meningkat banyak perkara yang mula bermain di minda kita. Apabila memandang cermin dan terlihat garis garis halus pada wajah kebanyakan wanita akan mula diburu kebimbangan. Lalu pelbagai cara dilakukan bagi mengurangkan kesan penuaan tersebut.
Ramai yang berkunjung ke pusat kecantikan bagi menghilangkan pigmentasi, kedutan dan mengembalikan ketegangan wajah. Namun sebab sebenar yang mencetus masalah ini ialah kekurangan hormon di dalam badan. Ramai wanita menganggap simptom menopaus sebagai faktor psikologi semata-mata. Ternyata ia tidak benar. Sebaliknya ia merupakan faktor fisiologi yang melanda tubuh kita. Gangguan emosi dan perubahan fizikal boleh dirawat dengan ujian paras hormon dan menambahkan semula hormon yang tiada. Menopaus bagaikan nyanyian sepi dalam hati wanita. Apabila era menopaus muncul dalam diri seseorang perasaan akan mudah terganggu dan hati menjadi mudah terasa. Kenapakah ini berlaku?
Kitaran tubuh amat dipengaruhi oleh hormon yang merangsang minda, jiwa dan tenaga kita. Apabila seorang wanita didatangi haid buat pertama kalinya kitaran hormon dalam tubuhnya mula berfungsi dan berkembang. Pada waktu ini seorang gadis akan berkembang menjadi wanita yang sempurna. Tenaga serta kecantikannya meningkat apabila di puncak perkembangannya. Apabila paras hormon merosot seorang wanita akan mula kehilangan kecantikan dan tenaganya. Inilah yang dikatakan era pra menopaus dan post menopaus.
Pada usia 25 tahun hormon di dalam tubuh kita mula berkurangan dan akan terus berkurangan sehinggalah usia seseorang itu mencapai 35 tahun. Selepas usia tersebut kadar pengurangan hormon akan menjadi lebih ketara lagi. Kemerosotan hormon dalam tubuh menyebabkan kita mengalami pelbagai tekanan dari segi emosi dan juga fizikal. Hormon sering dipandang remeh oleh kebanyakan orang. Apabila haid tidak menentu hormon dipersalahkan. Ini menyebabkan berlaku salah faham dan tanggapan negatif mengenai hormon dan tugasnya di dalam tubuh kita.
Di sini saya ingin menjelaskan bahawa gangguan yang dimaksudkan bermakna tidak cukup hormon di dalam badan dan bukan kerana hormon merbahayakan tubuh badan kita. Sebenarnya hormon merupakan entiti yang sangat penting dan memainkan peranan mustahak bagi kehidupan kita. Tanpa hormon segala proses metabolik akan terganggu.
Hormon tyroxine misalnya meningkatkan metabolisme tubuh. Seseorang yang kurang thyroxine akan mengalami masalah berat badan meskipun makan sedikit. Individu yang kurang hormon ini juga mempunyai kulit kasar, rambut gugur serta kekurangan tenaga menyebabkan selalu keletihan.
Hormon insulin pula terlibat dalam metabolisme gula dan juga membolehkan gula digunakan di dalam sel sebagai tenaga. Tanpa insulin sel tidak dapat menggunakan tenaga. Ini menyebabkan seseorang yang kurang insulin kelihatan lesu dan tidak bermaya. Insulin merupakan sejenis hormon dan masalah kencing manis sebenar nya merupakan gangguan hormon di dalam tubuh kita.
Melatonin merupakan hormon yang penting bagi membolehkan kita tidur lena. Gangguan hormon melatonin membuatkan seseorang tidak lena tidur dan mendapat insomnia. Hormon ini penting bagi mengelakkan penyakit nyanyuk atau pelupa.
Estrogen dan Progesteron pula merupakan hormon seks yang mustahak bagi kesejahteraan wanita.
Saya menasihatkan wanita 40 tahun ke atas memandang serius tahap hormon di dalam tubuh yang semakin berkurangan. Hormon bukan saja berkait rapat dengan kitaran haid dan menopaus wanita. Ia amat penting kerana ia mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan dan kecantikan kita.
Penggunaan hormon dengan nasihat doktor yang berpengalaman dalam bidang ini akan merubah hidup anda. Bukan sahaja kesihatan menjadi lebih baik, anda juga kelihatan lebih cantik dan muda semula. Pengetahuan sains perubatan yang tinggi membolehkan kita menikmati hidup lebih berkualiti di usia tua dengan terapi peningkatan hormon di dalam badan. Justeru persepsi kita terhadap hormon harus berubah ke arah yang lebih positif.
Hormon harus diberi perhatian yang sewajarnya dan perkongsian ilmu sebegini adalah mustahak bagi kita sama-sama melahirkan masyarakat Malaysia yang sihat dan sejahtera.
![]() |
| 100% Natural Ingrediant |



No comments:
Post a Comment