Friday, December 17, 2010

Wanita-Hormon & Kanser (Part 2)

Info Barah
·  Barah payu dara adalah barah paling biasa ditemui di kalangan wanita Malaysia tanpa mengira bangsa. Malah ia boleh menyerang pada wanita semuda usia 19 tahun. Namun, rata-rata pesakit berusia antara 50 ke 59 tahun.
·  Barah payu dara paling ramai dikesan di kalangan wanita berketurunan Cina, diikuti wanita keturunan India dan Melayu
·  Antara tahun 2003- 2005, 31.1 peratus kes baru barah payu dara dikesan di kalangan wnaita Malaysia.
·  Setiap wanita di Malaysia memiliki risiko antara satu ke 20 kemungkinan diserang barah sepanjang hidupnya.
·  Pada tahun 2003, seramai 1818 pesakit barah payu dara mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Angka itu adalah enam kali ganda lebih ramai berbanding tahun 1993.
·  Kebanyakan pesakit didiagnos dengan barah pada usia 40 tahun ke atas. Namun dua peratus didiagnos pada usia 30 tahun ke bawah. Lebih menyediahkan antara 30 ke 40 peratus pesakit mendapatkan rawatan apabila barah sudah berada di tahap akhir.
·  Pada tahun 2002, terdapat 2778 kes barah kolon dan rektum dikesan. Kebanyakan kes membabitkan pesakit lelaki dan perempuan yang berusia 40 tahun ke atas

Sesal kemudian tidak berguna
Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my
2010/12/12

SARAH Chee, 63, disahkan mengalami barah payudara 13 tahun lalu ketika gaya hidupnya begitu aktif, sangat sihat lagi cergas, berjoging tiga kilometer setiap hari adalah rutin.

“Pada 1997, doktor mengesahkan ada ketulan pada payudara saya dan mahu saya melakukan mamogram, tetapi selepas itu doktor memberitahu ia bukan barah... saya sangat lega. Disebabkan kejahilan dan sentiasa menafikan punya masalah kesihatan, ketulan yang ada tidak diendahkan sehinggalah 10 bulan berlalu.
“Pelik rasanya sebab kalau betul ia tidak bersifat barah, mengapa ketulan itu makin membesar. Akhirnya saya jadi mangsa sikap jahil dan tak ambil tahu apabila doktor mengesahkan ia barah payudara peringkat bahaya. Saat itu saya berasa alangkah baiknya jika bumi ini terbelah dan terus menelan tubuh ini hidup-hidup,” kata suri rumah berkenaan.
Sarah berkata, pelbagai persoalan berlegar dalam kepalanya, namun semua sudah terlambat dan kekesalan menebal memikirkan bagaimana dia langsung tidak mempedulikan ketulan yang ada selama 10 bulan, apatah lagi membuat kajian dan membaca mengenai barah payudara.

“Air mata sudah tak bermakna lagi, kini saya perlu menerima kenyataan untuk terus hidup dan payudara saya perlu dibuang,” katanya dalam nada kesal.
Bermula saat itu, seluruh keluarga dan anak-anaknya mula mengkaji, mendalami dan memahami karakter barah payudara termasuk menerusi internet dan buku. Dia sendiri mula meyakinkan diri untuk bangkit semula dan memulakan kehidupan baru yang lebih bermakna.

“Saya perlu lakukan sesuatu untuk diri dan masyarakat. Jika berlaku pada orang lain pun sekurang-kurangnya ia mampu dikesan awal, dikawal dan dirawat segera. Keghairahan menyertai Persatuan Kebajikan Barah Payudara (BCWA) dan berkhidmat kepada masyarakat timbul atas kesedaran itu dan hakikat tak mahu nasib sama menimpa insan lain,” tambahnya.
Apa yang menimpa Sarah adalah antara kes klasik pesakit barah payudara peringkat parah atau metastatik yang dibelenggu penafian dan kejahilan. Dia disahkan mengalami barah payudara ketika tahap kesedaran dan kempen mengenai penyakit itu kurang diambil peduli masyarakat.

“Ketika itu, bukannya tiada sebarang kempen mahupun iklan di dada akhbar, majalah atau TV dan radio, tetapi setiap kali terpandang mahupun terdengar, saya tak peduli dan menutup mata. Dalam hati, mana mungkin ia akan terjadi kepada diri dan keluarga yang mengamalkan hidup sihat lagi cergas,” katanya lagi.

Kini Sarah aktif memberi ceramah secara sukarela selain sesi kaunseling di sekolah dan hospital, bertemu pelajar dan pesakit barah payudara peringkat awal untuk meyakinkan mereka bahawa apa yang berlaku bukan hukuman mati, sebaliknya rawatan serta pengurusan penyakit yang baik mampu memanjangkan jangka hayat mereka.

“Pencegahan adalah cara terbaik, lakukanlah pemeriksaan payudara sendiri di rumah dan sebarkan maklumat mengenai penyakit ini kepada lima insan terdekat yang anda sayangi,” jelasnya yang turut berkongsi nasihat berguna diberikan pakar perubatan yang menegaskan setiap ketulan pada payudara perlu dianggap sebagai mencurigakan.

Jangan serah kalah
Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my
2010/12/12

Pelbagai pilihan rawatan kini membolehkan pesakit barah payudara kawal penyakit

BULAN 'merah jambu' khusus untuk barah payudara baru saja berlalu, namun usaha menerapkan kesedaran mengenai bahaya penyakit nombor satu paling kerap meragut nyawa wanita di dunia itu tetap bergerak terus.
Pada asasnya, tahap kesedaran masyarakat terhadap bahaya barah payudara secara amnya mencapai sasaran, begitupun sangat sedikit fokus yang diberikan terhadap barah payudara peringkat parah atau lebih dikenali sebagai metastatik
Barah payudara yang parah atau metastatik adalah peringkat di mana sel-sel barah terpisah dari ketumbuhan utama payudara dan merebak ke bahagian lain badan melalui saluran darah atau sistem limpatik.

Berbanding dengan negara barat di mana lebih kurang enam peratus dari barah payudara adalah pada peringkat metastatik selepas pemeriksaan, sebaliknya wanita Malaysia disahkan mengenai barah payudara pada peringkat yang amat lambat.

Bertahun-tahun lamanya, hospital seperti Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) mencatatkan antara 30 hingga 40 peratus barah payudara di peringkat yang parah. Ada beberapa jenis dan yang paling lazim berlaku ialah Karsinoma duktus. Ini adalah barah payudara yang paling kerap berlaku dan bermula dalam tisu pengalas duktus.

Karsinoma lobul pula adalah barah yang timbul dari lobul manakala barah payudara metastatik adalah barah payudara yang merebak di luar payudara. Sel-sel barah ini sering ditemui dalam nodus limfa di bawah lengan (nodus limfa aksil.) Apabila barah sampai ke nodus ini, bermakna sel-sel barah sudah merebak ke bahagian badan yang lain seperti, tulang, hati atau paru-paru.

Mengikut kajian, jangka hayat seorang wanita yang menghidap barah payudara peringkat parah adalah lebih kurang dua hingga empat tahun saja. Bagaimanapun, dengan wujudnya pelbagai pilihan rawatan untuk penyakit pada peringkat metastatik, 21 peratus daripada jumlah pesakit mampu mencecah jangka hayat sehingga lima tahun. Di dunia, barah payudara adalah barah yang paling kerap dikalangan wanita yang menyebabkan lebih satu juta kes baru setiap tahun dan adalah penyebab utama kematian wanita yang berkaitan dengan barah.

Di Malaysia barah payudara adalah barah yang paling lazim pada keseluruhannya dan yang paling biasa di kalangan wanita tanpa mengira batas kaum dari usia 20 tahun mengikut kajian pada 2003 hingga 2005.

Presiden Persatuan Kebajikan Barah Payudara (BCWA), Ranjit Kaur menjelaskan kebanyakan pesakit yang disahkan menghidap barah payudara peringkat parah atau metastatik akan terus menyerah kalah.

“Keadaan ini sangat lazim kerana kebanyakan wanita yang ditimpa penyakit ini sedang berada di puncak kerjaya, sibuk menguruskan anak-anak dan keluarga juga suami. Ia seolah hukuman mati buat mereka. Bayangkan saja kesan dan bebanan emosi yang perlu ditanggung. Hakikat yang perlu mereka telan tidak terbayang dan tertanggung oleh sesiapapun. Apa yang terlihat hanyalah hari-hari kelam yang menuju kegelapan, akhirnya lebih rela membiarkan diri dimamah kesakitan fizikal yang amat sangat.

“Benar barah payudara peringkat parah atau metastatik tidak boleh dipulihkan, begitupun pelbagai pilihan rawatan kini membolehkan pesakit menguruskan dan mengawal penyakit itu dan ini memberikan mereka peluang untuk menjalani hidup yang lebih berkualiti dan sekali gus memanjangkan jangka hayat,” katanya ketika pelancaran kempen Pink Purse dan Be A Pink Angel anjuran BCWA bersama GlaxoSmithKline Pharmaceutical (GSK) di J Co Donuts & Coffee Sunway Pyramid, baru-baru ini.

Lihat saja anggota BCWA yang datang dari pelbagai latar belakang agama, budaya, sosial dan peringkat usia. Barah payudara boleh dihidapi oleh sesiapa saja tidak kira lelaki mahupun wanita. Biar sejuta kempen kesedaran pun jika kekuatan dan mandiri itu tidak datang dari diri anda sendiri, segala usaha akan sia-sia. Lakukanlah pemeriksaan awal dan rutin, belajar cara pemeriksaan sendiri di rumah, sekurang-kurangnya anda masih punya peluang untuk menguruskan dan mengawalnya dengan baik.

“Teruskanlah kehidupan demi masyarakat, teruskan hidup demi keluarga dan teruskan hidup demi anda.

Golongan berisiko mendapat barah payu dara
·  Risiko wanita adalah 100 kali ganda lebih tinggi berbanding lelaki.
·  Sejarah keluarga
·  Sejarah barah - wanita yang pernah menghidap barah payu dara punya risiko berulang empat kali ganda.
·  Sejarah haid dan pembiakan - Melahirkan anak merendahkan risiko barah ini terutamanya jika kelahiran anak yang pertama berlaku sebelum ibu mencapai umur 30 tahun.
·  Pemakanan - pengambilan lemak secara berlebihan
·  Pengambilan hormon - wanita yang sudah putus haid dan mengguna hormon gantian (HRT- hormone replacement therapy) didapati mempunyai risiko barah payu dara yang lebih tinggi. Risiko ini meninggi hanya setelah lima tahun penggunaan hormon secara berterusan.
·  Obesiti.

Kesan barah
Rencana disediakan Dr Muhammad Arif M Hashim, Ketua Jabatan Patologi dan Pakar Perunding Kanan Hospital Kuala Lumpur (HKL)
bminggu@bharian.com.my
2010/11/07

Pemeriksaan saringan sahkan kanser rahim, payu dara dan kelenjar prostat

RAMAI yang sudah maklum apa itu barah pangkal rahim, payudara serta kelenjar prostat. Malangnya, tidak ramai yang tahu apakah ujian saringan membabitkan tiga penyakit barah ini yang turut dilakukan di Jabatan Patologi, Hospital Kuala Lumpur.


Bagi barah pangkal rahim misalnya, ada banyak pertanyaan membabitkan masalah pendarahan di faraj yang berlaku selepas hubungan seksual yang dialami wanita, termasuk yang berusia 40-an dan mempunyai ramai anak.

Hakikatnya, ada beberapa sebab mengapa berlakunya pendarahan vagina selepas melakukan hubungan seksual. Ini seperti masalah radang (inflamasi), trauma, ketumbuhan biasa seperti ‘polyp’ dan yang paling membahayakan adalah kanser pangkal rahim.

Oleh itu, ujian saringan perlu dilakukan kalangan wanita dalam usia kumpulan reproduktif dan aktif dalam hubungan seksual. Lazimnya, saringan ini dilakukan ke atas wanita yang berumur antara 20 hingga 65 tahun.

Ujian saringan PAP smear adalah mudah untuk dilakukan dan tidak memerlukan perbelanjaan yang sebegitu tinggi. Seseorang wanita yang berisiko itu hanya perlu menjalani ujian ini dengan membenarkan sampel diambil dari pangkal rahim untuk pemeriksaan.

Sampel ini akan dihantar ke Jabatan Patologi (Unit Sitologi) yang mana sampel ini akan diproses dan diperiksa untuk pengesanan sel-sel yang tidak normal. Kakitangan yang terbabit dalam proses pemeriksaan ini termasuklah Juruteknologi Makmal yang terlatih atau ‘Cytoscreener,’ Pegawai Sains dan Pakar Patologi.
Bagaimanapun, apakah langkah seterusnya jika sel-sel yang tidak normal dikesan dalam pemeriksaan PAP smear anda? Berdasarkan laporan Patologi, jika didapati sel-sel tidak normal ada dalam sampel itu, anda akan dirujuk dengan kadar segera kepada Pakar Ginekologi untuk pemeriksaan selanjutnya.

Kebiasaannya, pemeriksaan kolposkopi akan dilakukan dan contoh tisu akan diambil (tissue biopsy) untuk dihantar ke makmal histopatologi untuk pengesahan. Sampel biopsi ini akan melalui beberapa peringkat pemprosesan di makmal histopatologi sebelum ia boleh diperiksa secara mikroskopi oleh Pakar Patologi.

Laporan histopatologi yang mengesahkan penyakit kanser pangkal rahim akan dimaklumkan kepada pesakit melalui Pakar Ginekologi yang merawat pesakit berkenaan. Pesakit akan diberi rawatan yang selanjutnya sama ada pembedahan, rawatan radioterapi dan, atau kemoterapi.

Bagaimana pula dengan mereka yang mengalami masalah seperti lelehan bukan biasa dari puting payudara? Jika anda mengalami masalah ini anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Ini disebabkan masalah itu adalah antara tanda-tanda kanser payu dara selain daripada ketulan tidak normal pada payu dara atau pun perubahan pada kulit payu dara. Ada beberapa kaedah saringan untuk mengesan peringkat awal kanser payu dara termasuklah Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP), Mammography, Ultrasonography dan Fine Needle Aspiration Cytology (FNAC).

Jika anda mendapati ketulan yang tidak normal pada payu dara anda atau keputusan pemeriksaan mamogram atau ultrasonography yang tidak normal, maka anda perlu berjumpa doktor untuk pemeriksaan selanjutnya.

Ujian pengesahan akan dilakukan ke atas anda sama ada melalui FNAC yang mana pengambilan sampel sel dari bahagian yang tidak normal itu dilakukan dengan menggunakan jarum yang halus dan picagari untuk pemeriksaan oleh Pakar Patologi. Sampel tisu boleh juga diambil dari bahagian yang tidak normal itu untuk pemeriksaan histopatologi.

Sekali lagi di makmal Saitologi/Histopatologi, sampel-sampel ini akan diproses untuk pemeriksaan dan pengesahan oleh Pakar Patologi sama ada pesakit itu mengidap kanser payu dara atau pun tidak. Jika laporan Histopatologi mengesahkan yang anda mengidap kanser barulah rawatan selanjutnya dapat dilakukan sama ada pembedahan, radioterapi atau pun kemoterapi.

Bagi lelaki pula, apakah puncanya masalah seperti kerap kencing termasuk pada waktu malam serta aliran air kencing yang tidak lancar? Lebih membimbangkan, selera makan dan berat badan pula merosot.

Untuk makluman ramai, pesakit yang mengidap penyakit kanser kelenjar prostat juga boleh mengalami gejala ini. Apakah kelenjar prostat ini? Ia adalah organ yang ada pada lelaki, bersaiz kecil atau sebenar kacang walnut yang terletak di belakang alat kemaluan lelaki, di depan usus besar (rectum), di bawah pundi kencing dan mengelilingi saluran kencing (urethra).

Oleh itu, andai ada sebarang bengkak atau pembesaran pada kelenjar prostat, sama ada berpunca daripada kanser atau tidak, pesakit akan mengalami masalah sama ada kencing tidak lawas atau pun ada darah dalam air kencing atau air mani.

Bagaimana mengesan peringkat awal kanser kelenjar prostat? Saringan untuk penyakit kanser kalenjar prostat boleh dilakukan melalui ujian darah dengan mengukur paras protin yang dirembeskan oleh kelenjar prostat iaitu PSA (Prostatic Specific Antigen). Paras PSA dalam darah biasanya tidak normal jika kelenjar prostat diserang kanser.

Selain itu, satu pemeriksaan ringkas dan mudah juga boleh dilakukan untuk mengesan peringkat awal kanser kelenjar prostat iaitu DRE (Digital Rectal Examination) yang mana doktor akan memasukkan jari ke dalam rektum pesakit dan memeriksa kalenjar prostat.

Sampel tisu untuk pemeriksaan oleh Pakar Patologi perlu dilakukan untuk pengesahan sama ada pesakit itu mengidap kanser jika didapati paras PSA dalam darahnya tinggi dan kelenjar prostatnya melalui pemeriksaan DRE tidak normal.

Pemeriksaan dan pengambilan sampel tisu dari pada kelenjar prostat ini dilakukan oleh Pakar Pembedahan Urologi menggunakan teknik Transrectal Ultrasound biopsy (TRUS). Jika laporan Histopatologi mengesahkan anda mengidap kanser kelenjar prostat, barulah rawatan lanjut dapat dilakukan sama ada pembedahan, rawatan hormon atau pun radioterapi.

Apakah komplikasi kanser jika lambat di kesan? Kanser boleh merebak ke bahagian lain anggota badan seperti hati, paru-paru, tulang dan otak dan seterusnya menyebabkan kematian. Oleh itu saringan ini perlu untuk mengesan peringkat awal kanser dan mengelakkan dari berlakunya komplikasi.


Sumber rujukan: Unit Histopatologi, Jabatan Patologi, HKL dan Uronological Society of Australia.

No comments:

Post a Comment